TINTA AL-QUDSY #3 – PELAJARAN DARIPADA TUHAN
بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama
Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang)
وأما السائل فلا تنهر – (سورة الضحى: 10)
"Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka
janganlah engkau tengking herdik.”
Ayat di atas menjelaskan mengenai adab
seseorang apabila berhadapan dengan orang yang meminta pertolongan (spt peminta sedekah, orang susah, orang yang bertanyakan soalan, orang yang berhajat dll). Jika kita
berdepan dengan golongan ini, kita dituntut agar melakukan satu daripada dua
perkara iaitu:
Pertama: Menunaikan permintaan itu. Nabi SAW pernah bersabda,
“Barang siapa yang melepaskan satu
kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan
pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti
Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat”.
Kedua:
Menolak dengan cara yang berhemah jika tiada kemampuan untuk menunaikan. Qatadah
–rahimahullah- menafsirkan ayat tersebut, “Tolaklah orang miskin
(permintaannya) dengan jalan baik dan lemah lembut.
Namun begitu, mutakhir ini sebahagian orang
Islam sudahlah tidak mahu membantu malahan sanggup melemparkan kata-kata kesat
dan sinis terhadap mereka. Bukankah mereka meminta-minta itu sudah menjelekkan
maruahnya? Mengapa ditambah lagi bahkan dipermalukan di khalayak ramai. Islam
amat mengancam keras tindakan tersebut melalui sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah
seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap
muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.”
KESIMPULAN: Inilah satu
daripada adab yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Maka, tidak
hairanlah Nabi SAW itu amat mulia akhlaknya dan itulah tujuan Baginda diutuskan
iaitu menyempurnakan akhlak seperti mana sabdanya, “sesungguhnya
aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia”
. والله أعلم بالصواب
الحمد لله
بنعمته تتم الصالحات وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه تسليما كثيرا
No comments:
Post a Comment