Wednesday, 30 March 2016


TINTA AL-QUDSY #3 – PELAJARAN DARIPADA TUHAN

بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang)

وأما السائل فلا تنهر – (سورة الضحى: 10)
"Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.”

Ayat di atas menjelaskan mengenai adab seseorang apabila berhadapan dengan orang yang meminta pertolongan (spt peminta sedekah, orang susah, orang yang bertanyakan soalan, orang yang berhajat dll). Jika kita berdepan dengan golongan ini, kita dituntut agar melakukan satu daripada dua perkara iaitu:

Pertama: Menunaikan permintaan itu. Nabi SAW pernah bersabda, “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat”.

Kedua: Menolak dengan cara yang berhemah jika tiada kemampuan untuk menunaikan. Qatadah –rahimahullah- menafsirkan ayat tersebut, “Tolaklah orang miskin (permintaannya) dengan jalan baik dan lemah lembut.

Namun begitu, mutakhir ini sebahagian orang Islam sudahlah tidak mahu membantu malahan sanggup melemparkan kata-kata kesat dan sinis terhadap mereka. Bukankah mereka meminta-minta itu sudah menjelekkan maruahnya? Mengapa ditambah lagi bahkan dipermalukan di khalayak ramai. Islam amat mengancam keras tindakan tersebut melalui sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.”

KESIMPULAN: Inilah satu daripada adab yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Maka, tidak hairanlah Nabi SAW itu amat mulia akhlaknya dan itulah tujuan Baginda diutuskan iaitu menyempurnakan akhlak seperti mana sabdanya, sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia

. والله أعلم بالصواب

الحمد لله بنعمته تتم الصالحات وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه تسليما كثيرا



TINTA AL-QUDSY #2- MASIHKAH ADA CAHAYA???

بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang)

قل يعبادي الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة اللهۚ إن الله يغفر الذنوب جميعاۚ إنهۥ هو الغفور الرحيم – (سورة الزمر: 53)

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Allah Taala tidak pernah mengancam hamba-hamba-Nya yang berdosa dengan azab tanpa mendatangkan pujukan dan nasihat agar mereka sedar dan kembali ke pangkal jalan. Hal ini kerana Allah mengetahui setiap hamba-hamba-Nya. Benar, kita mungkin pernah diselubungi noda ketika menempuh lorong-lorong gelap sehingga kehidupan terkutuk itu sentiasa menghambat dan menghantui malahan terdetik di dalam sanubari bahawa tiada lagi ruang dan peluang untuk menjadi baik dan bertakwa. Ketahuilah teman! Allah sudi menerima kita seadanya. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala membentangkan tangan-Nya (bersedia menerima taubat) di malam hari untuk menerima taubat hamba yang berdosa di siag hari. Dan Allah Ta’ala membentangkan tagan-Nya di siang hari untuk menerima taubat hamba yang berdosa di malam hari, sampai matahari terbit dari barat.”.

KESIMPULAN: Kembalilah manusia! Kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum menalak jasad. Allah sentiasa meluaskan rahmat-Nya dan cinta-Nya kepada sesiapa untuk kembali. Justeru, hayatilah firman Allah di dalam surah At-Tahrim ayat 8,  Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

والله أعلم بالصواب

الحمد لله بنعمته تتم الصالحات وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه تسليما كثيرا

TINTA AL-QUDSY #1- NIKMAT YANG TERAGUNG


بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang)

الحمد لله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل لهۥ عوجا- (سورة الكهف: 1)

Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)

Ayat di atas mengandungi puji-pujian terhadap Allah kerana Dia yang Maha Memberi Petunjuk telah menurunkan suatu nikmat yang hebat iaitu Al-Quran Al-Karim kepada Nabi Muhammad SAW. Apakah sifat Al-Quran seperti yg ternyata di dalam ayat itu? Al-Quran bersifat lurus (bebas daripada kesesatan) dan tiada sebarang kecacatan. Apakah maksud "عوجا" iaitu kecacatan (terjemahan harfiah seperti dalam Al-Quran berterjemahan Bahasa Melayu bermaksud bengkok)? Imam As-Syaukani menjelaskan bahawa al-Quran bebas daripada sebarang kecacatan dari segi lafaz dan makna. Dalam kata lain, kandungannya tidak bercanggah antara satu sama lain. 

KESIMPULAN: Al-Quran sebuah kitab yang terjaga dan dijamin ketulenan sehingga haro kiamat kerana Allah berfirman, " Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Az-Zikra (Al-Quran) dan Kami jugalah yang menjaganya". Allah jualah memelihara setiap lafaz dan maknanya agar tidak ada sebarang ruang bagi mencemarkan kesucian Al-Quran. Isi kandungan Al-Quran tidak hanya suatu yang hebat dari segi linguistik bahkan fakta yang terkandung sangat sahih, relevan, dipercayai dan mampu dibuktikan.

والله أعلم بالصواب

الحمد لله بنعمته تتم الصالحات وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه تسليما كثيرا

Friday, 4 March 2016


SEMBANG EXAM SIKIT....


الحمد لله حمدا كثيرا والصلاة والسلام على سيدنا محمد وآله وصحبه تسليما كثيرا 

أما بعد...

Assalamualaikum dan Salam Jumaat semua, Alhamdulillah hari ini sebaik-baik hari bahkan penghulu segala hari (saiyyidul ayyam). Semoga Allah merahmati kita semua. Apa khabar semua pembaca yang dikasihi? Penulis harap semuanya sihat di samping keluarga dan sahabat- sahabat semua.

            Sekarang penulis sedang menduduki peperiksaan akhir semester 4. Musim pengajian kali ini boleh penulis katakan yang agak mendebarkan dan mencabar fizikal, mental dan intelektual penulis. Sebab? Adalah sikit masalah yang rasanya tak perlu rasanya penulis share kan di sini. Mungkin lain hari Insya Allah kalau panjang umur dan murah rezeki. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, semester 4 kali ni penulis belajar beberapa subjek yang agak “killer” rasanya iaitu:
  1. Tafsir Al- Quran oleh Ayahanda Ustaz Abdul Rasyid Lahu Muhammad,
  2. Tafsir Ayat Hukum 1 (Asas Ayat Hukum) oleh Ustazah Rafedah Binti Mohd Said,
  3. Ulum Al-Hadith oleh Dr. Muhammad Muhammad Tolba Said,
  4. Sejarah Perundangan Islam oleh Ustaz Yazid Bin Bahrin,
  5. Bahasa Arab III oleh Ustaz Ahmad Al-Hafiz Rustam Afendi,
  6. Sistem Perundangan Malaysia oleh Encik Mohammad Ramzi Zakaria.

Kalau tidak silap penulis pernah tulis mengenai subjek ramalan pada posting yang lepas (cuba check balik). Cuma sebahagian sahaja yang penulis berjaya teka kuang kuang kuang. Sekali lagi penulis nak buat ramalan bagi subjek semester 5 pula dan antaranya ialah (jeng jeng jeng):
  1. Fiqh semasa
  2. Hadis Hukum
  3. Ayat Hukum
  4. Panel Code (Kanun Keseksaan)
  5. Fiqh Muamalat
  6. Fiqh Jenayah
  7. Kaedah Penyelidikan
  8. Al-Quran
  9. Metadologi Pengajian Al-Quran dan Hadis

            Dengan waktu perkuliahan hanya 14 minggu sahaja, kini penulis sedang menududuki minggu peperiksaan. Seram juga rasanya. Justeru, penulis dapati bahawa bukan suatu hal yang mudah untuk menghadam semua subjek yang dipelajari dalam jangka waktu yang singkat. Namun begitu, penulis nak share sikit tips yang agak membantu (pada hemat penulis sahaja tak tahu plak kalau orang lain) untuk belajar dengan baik dan bijak antaranya:

1.      Membuat nota berdasarkan teknik B.A.R (Baca, Analisis, Rumus).
Teknik ini penulis pernah perkenalkan pada anak didik (actually mentee je hehee) semasa Program Mentor-Mentee Sistem Perundangan Malaysia yang penulis telah adaptasi dan aplikasi daripada satu tajuk kuliah Bahasa Inggeris II semester lepas bersama Miss Sakinah (Thank You Miss!). Teknik ini amat bermanfaat untuk membuat satu nota mudah tetapi padat. Apa yang penting nota (sama ada salin guna tangan atau guna Microsoft word) itu perlu dibuat sejurus selepas tamat kuliah subjek tersebut (takut-takut berlambak nanti jenuh tangan nak buat). Apa itu teknik BAR? Penulis akan ceritakan pada masa akan datang Insya Allah.

*Actually penulis tidaklah buat nota bagi semua subjek. Hanya subjek-subjek tertentu sahaja sebab tak ada masa dan MALAS hehehe.

2.      Mengadakan perbincangan kumpulan.
Ni yang paling best la kan tapi kebiasaannya kalau tak dikawal ia hanya menjadi “warung kopi” saja. Apa-apa pun setiap ahli perlu memberi fokus terhadap sebarang topik yang diketengahkan. Paling baik perbincangan seperti ini dibuat di pusat sumber. Senang membuat sebarang rujukan.

3.      Ulangkaji sendiri.
Cara seperti ini perlu menurut selera  dan gaya masing dengan apa-apa cara sekalipun. Kalau orang tanya, “macam mana ea cara belajar yang baik?” maka jawablah, “ kalau rasa dengan terjun bangunan 40 tingkat boleh study silakan”. HAHAHA GURAU SAJA YEW (JANGAN TIRU AKSI ITU DI RUMAH). Penulis yakin setiap orang khususnya pembaca sekalian ada cara tersendiri. Seperti penulis, saya suka study sambil dengar musik dan tonton tv  tapi yang paling syok “beruzlah” dalam bilik sendiri sambil melepek atau terbongkang atas tilam sambil pegang buku (kadang-kadang last-last zzzzzz  hehe). Sesetengah orang pula mereka set up masa tertentu untuk study macam sebelum subuh (kebiasaan selepas qiamullail), waktu petang dan juga waktu malam (tapi jangan sampai tak tidur pula). Selain itu, ada juga buat jadual belajar. Misalannya, Isnin subjek Ulum Hadith, Selasa subjek Bahasa Arab 3 dan hari-hari seterusnya. Ikut suka koranglah yew. Yang penting belajarlah walaupun hanya pegang buku dan baca buku tak sampai 10 minit. Kira baca la juga kan. Walau bagaimanapun, penulis ingin memberi pesanan agar memberi sepenuh perhatian kepada waktu belajar atau kuliah. Ulangkaji ni just revise untuk pengukuhan kepada ingatan. Pelajar sering melakukan kesilapan apabila mereka datang kuliah main-main tak fokus semasa proses perkuliahan tetapi sanggup tak tidur semata-mata nak ulangkaji untuk exam esok harinya. SALAH YANG AMAT BESAR! Bijaklah! Anda mampu mengubahnya dan ingatlah buah hati yang tersayang ciah ciah ciah X-D.

Sebelum berehenti penulis nak sharre sikit beberapa gambar kenagan sepanjang semester ni (selebihnya mungkin pada posting akan datang huhu).



(Perkahwinan sepupu tercinta, Norhasimah dan Isyraf)





(Pesanan Pendeta Zaaba yang paling bernas dan berguna)






(Program Mentor-Mentee Sistem Perundangan Malaysia... Hehe seronok dera budak-budak ni... Taat betul diorang ni... Markah pada mentor katakan kah kah kah!!!! B-D )






(Program Santun Gelandangan Kelab Syariah dan Usuluddin bersama JB Prihatin)







(Program 3M [Mahasiswa Mesra Masyarakat] di Kg. Perigi Acheh)





(Final Kuliah Sejarah Perundangan Malaysia bersama Ustaz Yazid Baharin)





(Final Kuliah Tafsir Al-Quran bersama Ayahanda Ustaz Abdul Rasyid)





(Nama dia Uni... Kuat berseloroh dan baik orangnya)





(Jadual Exam Final Sem 4)





(Beliau ialah Doktor Muhammad, Pensyarah Ulum Al-Hadith penulis)


Baiklah cukuplah sampai di sini. Semoga bertemu di waktu yang lain Insya Allah. Doakan penulis dan sahabat-sahabat penulis agar berjaya pada peperiksaan kali ni Insya Allah dan mendapat anugerah Dekan Insya Allah Aminn!!! Sekian...

 اللهم فقهنا في الدين وعلمنا التأويل
اللهم يسر ولا تعسر ونجحنا في الامتحان

السلام عليكم ورحمة الله


Friday, 26 February 2016


MARI KENAL AL-QURAN
(Siri 1)



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله الذي أنزل االقرآن بشيرا للمؤمنين ونذيرا للغافلين والصلاة والسلام على سيدنا محمد خاتم المرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين
أما بعد...

Assalamualaikum semua. Apa khabar? Sihat? Penulis berharap sihatlah hendaknya Insya Allah. Baiklah, apa agaknya isu yang ingin kita akan kupas pada hari ini? Tengok tajuk sikit. Eh, dah macam kuliah plak! Tak pelah kita share sikit apa yang telah penulis belajar dan baca Insya Allah.

Pengertian Al-Quran
            Al-Quran? Apa yang kita tahu tentang Al-Quran? Kitab yang hari-hari kita belek dan baca tau. Bukannya suatu perkara yang asing bagi kita. Apakah takrifan sebenar bagi Al-Quran? Di sini penulis datangkan takrifan Al-Quran daripada sebuah kitab yang bertajuk “Mabahith Fi Ulum Al-Quran” karangan Manna’ Qattan, “Al-Quran ialah Kalamullah yang bermukjizat, yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW, (dan) membacanya merupakan satu ibadah”. Sesetengah ulamak menambah bagi takrifan itu, “dipindahkan (satu tahap ke tahap yang lain) secara mutawatir, dan ditulis di dalam mushaf”. Jelas bukan? Justeru, penulis menganggap penulis yang membaca di sini sedia maklum mengenai hal ini. Penulis rasa bukan hanya penulis seorang menceritakan mengenai takrifan ini bahkan mungkin ada asatizah di luar sana yang sudah menyampaikannya. Sekadar revision je hehe.

Nama-Nama Lain Bagi Al-Quran
            Al-Quran sebenarnya ada nama lain bukan hanya “Al-Quran” sahaja. Terdapat banyak nama lain bagi Al-Quran yang mana namanya itu termaktub daripada ayat-ayat Al-Quran sendiri antaranya:

  1.         Al-Quran (Surah Al-Isra: 27)
  2.         Al-Kitab (Surah Al-Anbiya: 10)
  3.         Al-Furqan (Surah Al-Furqan: 1)
  4.      Az-Zikr (Surah Al-Hijr: 9)
  5. t-Tanzil (Surah As-Syua’ra: 192)
Hukum Beriman dan Beramal Dengan Al-Quran
            Hukum beriman dengan Al-Quran adalah WAJIB kerana Al-Quran merupakan satu daripada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah Taala dan wajib diimani oleh orang Islam. Hal ini selari dengan  perintah Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat  285, “Rasul telah beriman kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): Kami tidak membeda-bedakan antara seorangpun (dengan yang lain) dari rasu-rasul-Nya, dan mereka berkata: Kami dengar dan taat. (Mereka berdoa): Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan Engkaulah tempat kembali”. Selain itu, ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim (Hadis Jibril: Hadis kedua dalam Matan Arbain Imam Nawawi), “Iman itu ialah mempercayai Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, dan hari akhirat serta qadar (ketentuan) baik dan buruk”. Di samping itu, ulamak bahkan kaum muslimin bersepakat mengenai kewajipan beriman dan yakin terhadap Al-Quran.
            Dari sudut beramal pula, Al-Quran menjadi satu daripada sumber perundangan dan rujukan primer dalam menginstinbat hukum. Kehujahan Al-Quran sebagai sumber perundangan dan hukum disokong dengan Al-Quran sendiri, As-Sunnah dan Ijmak. Pendalilannya lebih kurang sama seperti yang telah dinyatakan. Jika mahukan kepastian dan maklumat tambahan, boleh rujuk sebarang kitab Usul Feqh dan Ulum Al-Quran. Insya Allah kalian akan menjumpai jawapannya.

Keistimewaan Al-Quran
            Al-Quran merupakan satu-satu kitab yang terselamat daripada sebarang perubahan dan penyelewangan oleh tangan-tangan manusia kerana keaslian dan kesucian dipelihara rapi oleh Allah Taala seperti mana yang termaktub di dalam Surah Al-Hijr ayat 9, “Sesungguhnya Kami yang telah menurunkan Al-Quran dan Kami jualah yang memeliharanya”. Keunggulan dan kemukjizatan Al-Quran sendiri terserlah dengan mengkaji dan meneliti kandungannya. Apa-apa jua yang Al-Quran khabarkan adalah BENAR dan tidak ada sebarang percanggahan dengan reality.
            Timbul pula tanda tanya, mengapa ada sahaja manusia yang cuba mengatakan Al-Quran itu salah? Mengapa sebagian tokoh Barat (khsusnya Orientalis) mengatakan bahawa Al-Quran sering berlaku kontradiksi antara satu sama lain? Hal ini kerana ketidakfahaman mereka terhadap Al-Quran itu sendiri atau mungkin mereka mehamainya satu lapis tanpa mendapatkan sebarang rujukan daripada pakar mengenai Al-Quran. Walau bagaimanapun, golongan seperti ini sentiasa wujud untuk memburuk-burukkan nama Islam dan meragukan pegangan umat Islam. Tak hairanlah jika mereka berusaha keras  mencari kesalahan pada setiap ceruk Al-Quran (itu pun kalau ada) untuk menyebarkan dakyah sesat lagi palsu kepada penduduk global. Teringat pula firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 120, “Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikuti akan agama mereka”. Demikianlah kebusukan orang kafir untuk memusnahkan umat Islam. Allahu Al-Mustaa’n.
            Ok semua. Cukuplah jari-jemari ini menulis. Moga bertemu pada siri seterusnya (itu pun kalau rajin dan lapang yew). Penulis juga berharap perkongsian kali ini dapat memberi input yang berguna kepadap pembaca. Sebarang kekurangan amat dikesali. Sekian...

اللهم ارحمنا بالقرآن ونور قلوبنا بهداية القرآن وزين لنا بزينة القرآن

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, 20 February 2016


AKU BUKAN BODOH




الحمد لله والصلاة والسلام على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
أما بعد...

Assalamualaikum semua. Amacam korang? Sihat? Kalau yew Alhamdulillah. Cuma penulis jela sejak kebelakangan ini sedikit batuk-batuk. Dah macam orang tua kan? Ye la dah masuk 20-an katakan takkan masih perasan muda kot hahaha. Ok, hari ni kita nak sembang sikit  satu perkataan yang agak kurang enak didengar dan tidak berapa molek disebut iaitu BODOH. Sengaja penulis menaipnya dengan huruf besar biar senang dikesan.

            Apa itu BODOH? Sering kali kita mendengar perkataan ini bahkan tidak menjadi suatu keanehan jika digunakan dalam pertuturan seharian. Misalannya, “Bodoh la ko”, “Diamlah, Bodoh!!!”, “Buat bodoh sudah” dan lain-lain lagi. Mungkin segelintir orang menganggap ia sebahagian daripada bahasa kest dan biadap tetapi ada sebahagian yang lain hanya berasa itu satu bahasa pasar dan biasa-bisa saja. Bergantung kepada kefahaman dan penerimaan masing-masing la. Walau bagaimanapun, penulis bukan nak bercerita mengenai sinteksis ayat atau laras lingusitik suatu bahasa. Bukan bidang kita nak sembang kencang. Justeru, penulis ingin bercerita sedikit beberapa hal yang berkait rapat dengan perkataan itu.... BODOH, BODOH, BODOH !!!

            Apa yang kita faham mengenai BODOH? Tidak mesti tidak terlintas dalam benak kita tak tahu belajar atau tak tahu membaca atau tak tahu itu ini dan sebagainya. Apa yang penting didahulukan perkataan “TAK TAHU”. Ok, kita takrifkan bodoh sebagai tak tahu. Bila tak tahu orang cakap bodoh dan apabila bodoh mesti tak tahu. Begitulah mantiknya huhu. Namun begitu, adakah itu satu takrifan atau tafsiran yang tepat dan relevan? Jika bukan apa takrifan yang sebenar? Baiklah, penulis datangkan satu kisah yang akan menjentik akal pembaca budiman sekalian. Mari kita lihat:

ALKISAH....

            Pak Abu seorang tukang kasut. Beliau sudah mula membaiki kasut sejak usia muda lagi. Apa jenis kasut semua beliau boleh baiki dan pelanggan amat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Pada suatu hari ada seorang pelanggan bernama Raju datang dengan membawa sepasang baju t-shirt yang sangat mahal. Lalu bermulalah dialog:

RAJU: Pak Abu, boleh tolong saya tak?
PAK ABU: Apa dia?
RAJU: Boleh tak jahitkan baju saya ni? Koyak besar di bahagian bahu tapi hati-hati kerana baju ini sangat mahal.
PAK ABU: Maaflah Raju. Pak cik tak boleh tolong. Saya tak pandai menjahit pakaian. Suruhlah orang lain.
RAJU: Takkan ni pun tak boleh buat? Pasal upah nanti saya bayar paling tinggi.
PAK ABU: Tak boleh Raju. Saya tak pandai dalam menjahit. Nanti baju kamu rosak saya yang kena.
RAJU: Adoiii, Pak Abu ni!!!! BODOH  sangat ke sampai tak tahu jahit baju ni? Benda simple takkan tak leh buat. Grrr BODOH sungguh orang tua ini.
PAK ABU: Ok. Pak cik buat tapi kalau rosak pak cik tak tanggung.
RAJU: Ok, nah ambil baju ini.

Dua hari kemudian....

RAJU: Pak cik dah siap jahit baju saya?
PAK ABU: Sudah. Nah ambil bajunya.
RAJU: Alamak!!! Apa yang pak cik buat ni ?!
PAK ABU: Pak cik jahitlah.
RAJU: Tapi kenapa jahitannya langsung tak kemas? Eh, kenapa ada koyak di bahagian lain ni? Adoiii baju aku!!!! BODOHLAH SIAL!!!
PAK ABU: Eh, kenapa kamu marahkan pak cik?! Kan pak cik dah cakap pak cik tak pandai menjahit yang kamu serahkan juga kenapa? Pak cik bukan tak cakap tapi kamu terus desak pak cik. Sekarang tulah yang kamu dapat. PADAN MUKA!!!!
RAJU: !@#$%^&*

TAMAT....

Berdasarkan kisah di atas, penulis ingin bertanya beberapa soalan:
  1.    Apakah pengertian sebenar BODOH?
  2. Siapakah yang BODOH?

Di sini penulis datangkan jawapan:

            Soalan 1: BODOH tidak semudah-mudahnnya ditafsirkan sebagai “TAK TAHU” tetapi hakikatnya BODOH itu ialah enggan mengikuti kebenaran. Berdasarkan kisah di atas, Raju tahu yang Pak Abu memang tak mampu menjahit pakaian dengan sebab yang begitu jelas iaitu (1) Pak Abu merupakan tukang kasut bukan tukang jahit (2) Pak Abu sudah memberi penjelasan dan alasan bahawa dia tiada kemahiran dalam menjahit pakaian. Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa Pak Abu bukan BODOH tapi dia tidak ada kemahiran dalam menjahit pakaian. Orang yang tiada kepakaran dalam suatu bidang tidak dikira BODOH. Sebagai contoh, seorang pelajar Syariah disoal mengenai subjek Perbandingan Agama yang dipelajari oleh pelajar Usuluddin. Mesti pelajar Syariah tidak dapat mejawab. Adakah dia BODOH?.....TIDAK!!!!!!

            Teringat seloroh kawan penulis. Dia ni kaki sukan tapi akademik kurang sikit. Apa dia kata (lebih kurang macam ni) “Syuk kau bagi nasakh mansukh dia tunggu lagi. Cuba kau bagi bola takraw hahaha”. Memang jenaka yang mencuit perasaan. Memang benar, penulis memang agak “pak pander” pasal sukan tapi bab kitab arab sepeluh penulis tunggu hehehe.

            Namun begitu, berbeza pula jika Pak Abu itu memang tukang jahit!!! Macam mana jika tukang jahit, ada sijil kemahiran bidang jahitan, dapat anugerah fesyen tidak mampu memberi jahitan yang terbaik? Ini baru BODOH!!! Sebab? Dah bidang dia tapi kalau yang basic pun hancur apa kejadahnya? Contoh mudah, ahli matematik bila ditanya 1+1 jawabnya 10 000 itu memang sahlah tak cerdik!!! Sebab? Dah ahli matematik kalau kira-kira mudah je pun salah itu problem.

            Soalan 2: Berdasarkan kisah di atas, jelaslah bahawa Raju yang BODOH kerana terus-menerus mendesak  Pak Abu dan menyerahkannya kepada orang yang salah. Jika kita menilai pendirian Raju dari sudut pentabiran organisasi dan parti politik, amatlah tidak wajar dan satu tindakan BODOH jika menyerahkan tanggungjawab kepada orang yang tidak layak. Hal ini dapat kita lihat dengan mata kepala kita sendiri betapa sadisnya sebilangan pemimpin yang melantik seseorang yang tidak ada kelayakan dalam mentadbir negara. Ini bukan nak sembang politik, tapi kita sebagai manusia yang ada akal perlu memikirkan nasib kita kelak.

            Akhir kata, penulis berharap dengan posting baru ini dapat membuka sedikit minda pembaca untuk memahami perkataan BODOH. Setiap orang mungkin ada pandangan yang berbeza tetapi penulis dengan rendah diri memberikan penghormatan kepada mereka yang tidak sealiran dengan penulis. Bukan nak cakap yang penulis ni reti sangat bab ilmu seperti psikologi, bahasa, sains politik dan lain-lain. Just ingin meluahkan perkara sekian lama yang terpendam dalam hati hehehe. Baiklah sebelum berpisah, doakan penulis dan kawan-kawan penulis sebab penulis dah nak final exam sem4 sebelum tiba musim hibernasi haha. Dan jangan lupa juga doakan kesihatan penulis ini dan kesihatan serta kesejahteraan ibu bapa penulis. Penulis juga sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan sekalian kaum muslimin dan mukminin di luar sana Aminnn. Sekian...

 سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت وأستغفرك وأتوب إليك
السلام عليكم ورحمة الله