Saturday, 14 February 2015

MUKADDIMAH SEORANG HAMBA






بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه والتابعين وتابع التابعين وتابعهم بإحسان إلى يوم الدين
أما بعد...

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh....

Permulaan blog ini saya mendahulukan Pemilik Alam Semesta supaya saya yang menulis dan anda yang membaca sama-sama memperoleh keberkatan. Saya teringat akan sabda Rasulullah SAW: "Setiap perkara yang memiliki kepentingan, tidak diawali dengan Bismillahirahmanirrahim maka dia terputus".



Seorang mufassir daripada Singapura, As-Syeikh Ustaz Ahmad Sonhadji Bin Mohamad pernah menukilkan tafsirannya mengenai Basmallah (lebih biasa dipanggil "Bismillah") pada surah Al-Fatihah, "Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dimulai dengan nama Allah 'Bismillah'. Hukum membaca Bismillah itu sunat (diberi pahala). Sebabnya membaca Bismillah itu sunat, kerana Al-Quran sendiri dimulai dengan Bismillah- sebagai pelajaran kepada orang-orang Islam- supaya sebarang kerjanya adalah semata-mata untuk Allah dan di atas nama Allah, tidak di atas nama yang lain"- (Tafsir Al-Quran Abril Asir (Tafsir Al-Quran di Radio) Juz 1, Ustaz Ahmad Sonhadji Bin Mohamad, Cetakan 2011, Pustaka Salam Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, Malaysia.).



Bukan itu sahaja, sebahagian ulamak beranggapan bahawa Basmalah merupakan satu daripada ayat-ayat pertama yang diturunkan- (Mubahith Fi Ulum Al-Quran,  Manna Al-Qatthan, Maktabah Wahbah, Kaherah, Mesir).



Selain itu, membaca Basmalah di permulaan apa-apa juga perkara merupaka satu daripada senjata-senjata orang mukmin untuk memerangi syaitan- (Rumah yang Disukai Malaikat Rahmat, Muhammad As-Sayim, Pentahqiq Syed Zain Bin Husin Al-Habshi, Pustaka Azhar, Malaysia).




Di samping itu, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan menukilkan di dalam kitabnnya bahawa satu daripada adab-adab makan dan minum idalah membaca Basmalah kerana sabit daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Umar Bin Abu Salamah katanya: Aku penah berada di pangkuan Rasulullah SAW sewaktu kecil, dan tanganku sentiasa meraba-raba di dalam asahan makanan. Maka berkata Rasulullah SAW kepadaku, "Wahai anak kecil! Baca Bismillah, makan dengan tnagan kananmu dan makanlah apa yang di hadapanmu (terdekat)"- (Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jilid 1, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, cetakan ke-17, Pustaka Nasional PTE LTP, Singapura).



Jika kita berfikir di luar konteks "point" yang dinayatakan sebentar sahaja tadi, kalimah Basmalah itu sendiri menunjukkan bahawa Islam agama yang lembut dan menafikan keganasan. Permulaannya dengan menyebut sifat Allah, Tuhan Sekalian Alam dengan "pengasih" dan "penyayang" bukan "zalim" dan "kejam". Justeru, kita sewajarnya menyangkal bahkan menafikan segala tuduhan, dakwaan dan propaganda Barat yang melabelkan dan menjenamakan Islam dan penganutnya sebagai pengganas. Ironinya, mereka yang mengaku dan mendabik dada sebagai pembela dan penyelamat itulah yang bertanggungjawab dalam pembantaian dan penindasan secara mental dan fizikal umat Islam di tanah air mereka sendiri. Umat Islam menjadi pengemis di bumi sendiri!!!!



Sikap "double standard" Barat menyebabkan umat Islam terus dihina dan diperlekeh kerana mereka sentiasa berdiri barisan hadapan untuk membuat liputan kejadian letupan atau pembunuhan di negara-negara Eropah dan Barat apabila suspek yang terlibat ialah SEORANG MUSLIM dan pasti berita tersebut mendapat tempat di dada-dada akhabr dan dipertontonkan kepada dunia. Tetapi lihat sahaja apa yang menimpa umat Palestin dan Syria, keadaan mereka tidak mendapat liputan meluas dan hanya tertumpu di laman-laman sosial seperti Facebok.



Di samping itu, mereka sengaja mejadikan isu-isu sensitiviti umat Islam sebagai provokasi agar umat Islam melancarkan "serangan" dan "keganasan" ke atas mereka. Oleh itu, mereka mudah menjadikan alasan hal itu sebagai bukti yang "kukuh" untuk menuduh umat Islam.

Sebagai penyimpul bicara, cuba kita fikirkan sejenak. Kita masih tidak sedar bahawa Barat sedang mencuci minda atau "brainwash" masyarakat dunia mengenai Islam sebagai agama keganasan. Oleh yan demikian, itu menjadi tanggungjawab umat Islam bersama-sama untuk membetulkan mentaliti masyarakat mengenai Islam. Jika usaha tidak segantang, secupak pun memadailah. Sekian sahaja untuk pertemuan kita pada hari ini. Semoga bertemu di lain hari.

Assalamualaikum.....




No comments:

Post a Comment