NIDA FURQANI #1 : Surah Al-Fatihah
(Ayat 1&2)
Pendahuluan
Surah Al-Fatihah merupakan surah yang
pertama di dalam Al-Quran Al-Karim. Ia merupakan Surah Makkiyah (surah yang
diturunkan sebelum Hijrah) dan mengandungi tujuh ayat yang diawali kalimah “Bismillahir
Rahmanir Rahim”. Selain itu, Surah Al-Fatihah memiliki nama-nama yang lain
seperti Umm Al-Kitab (Induk Al-Quran), Fatihah Al-Kitab (Pembuka
Al-Quran), Sabu’ Al-Mathani (Tujuh Ayat yang Diulang-Ulang), As-Syifa
(Penawar), Surah Al-Kanz (Surah Perbendaharaan) dan lain-lain lagi
(rujuk Al-Asas fi At-Tafsir oleh As-Syeikh Said Hawwa).
Kelebihan Surah Al-Fatihah
Terdapat pelbagai riwayat berkaitan
kelebihan surah Al-Fatihah itu sendiri. Hal ini telah disebutkan oleh
sebilangan mufassirin seperti, Al-Imam Al-Qurtubi (wafat 671H), Al-Hafiz Ibnu Kathir (wafat 774H), Al-Imam As-Syaukani
(wafat 1250H) dan sebagainya. Antaranya:
- Al-Imam Al-Bukhari (wafat 256H), Al-Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H), Al-Imam Abu Daud (wafat 275H) dan Al-Imam An-Nasaie (wafat 303H) meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Said Al-Mua’lla (secara mahfumnya), bahawa Rasulullah SAW mengajarkannya sebesar-besar surah tang diturunkan kepadanya sebelum beliau keluar dari masjid iaitu Alhamdulillahi Rabbil A’lamin (Al-Fatihah);
- Al-Imam Malik Bin Anas (wafat 179H) meriwayatkan bahawa Ubai Bin Kaa’b telah diajarkan oleh Rasulullah SAW sebesar-besar yang tidak diturunkan seumpamanya di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran iaitu surah Alhamdulillah Lillahi Rabbil A’lamin (Al-Fatihah);
- Ibnu Al-Anbari (wafat 328H) menyebutkan di dalam kitabnya “Ar-Radd”, Mujahid mengatakan bahawa sesungguhnya Iblis yang dilaknati Allah meraung sebanyak empat kali; iaitu ketika dilaknat, ketika dikeluarkan dari syurga, semasa lahirnya Nabi Muhammad SAW dan sewaktu turunnya surah Al-Fatihah;
- Al-Imam Said Bin Mansur (wafat 227H) dan Al-Imam Al-Baihaqi (wafat 458H) merekodkan di dalam kitab-kitab masing-masing, daripada Abu Said Al-Khudri radiyallahu anhu, Nabi SAW pernah bersabda, “Al-Fatihah merupakan penawar bagi semua penyakit”;
- Al-Imam At-Tabrani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dengan sanad yang daif bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barangsiapa yang membaca Al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad (Surah Al-Ikhlas), maka seolah-olah dia telah membaca sepetiga Al-Quran”.
Kandungan Surah Al-Fatihah
Surah Al-Fatihah mengandungi beberapa
persoalan yang menjadi pokok perbincangan di dalam surah ini. Professor Dr.
Wahbah Al-Zuhaily memperincikan hal tersebut di dalam At-Tafsir Al-Munir fi
Al-Aqidah wa As-Syariah wa Al-Manhaj seperti persoalan usuluddin (dasar-dasar
agama) dan cabang-cabangnya, akidah, pensyariatan, keimanan terhadap hari
kiamat dan sifat-sifat Allah, pengesaan-Nya dalam urusan ibadah, meminta pertolongan
dan doa, bimbingan dalam mengharapkan petunjuk dan jalan yang lurus, serta menghindari
jalan orang yang terpesong daripada hidayah Allah.
Hukum Membaca Al-Fatihah Di Dalam
Solat
Menurut mazhab As-Syafie, membaca
Al-Fatihah adalah wajib kerana ia adalah sebahagian rukun (qauli) yang tiga belas. Hal ini sabit daripada Hadis
Barra’ Bin Azib bahawa Nabi SAW bersabda, “ Tiada solat bagi sesiapa yang tidak
membaca Al-Fatihah”. Justeru, musolli (orang yang bersembahyang) mestilah memelihara
setiap huruf, tasydid, tertib dan muwalah (berturut-turut dari seayat ke ayat
yang lain) antara kalimanya. Demikianlah yang dinukilkan oleh As-Syeikh Daud
Al-Fathoni di dalam Muniyyat Al-Musolli.
Tafsir Al-Istia’zah atau At-Taa’wuz
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
(Aku
berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam)
Disunatkan bagi pembaca Al-Quran agar
memulakan tilawahnya atau memulakan bacaan Al-Fatihah di dalam solat setiap rakaat
dengan melafazkan kalimah Al-Istia’zah atau At-Taa’wuz untuk
memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang derhaka yang berusaha
memudaratkan agama (pegangan dan kepercaayan) kita dan menghalangi kita
daripada kebenaran yang menuju kepada Allah. Di samping itu, galakan beristia’zah
telah dinyatakan di dalam Surah An-Nahl ayat ke-98, “Maka tatkala kamu
membaca Al-Quran, hendaklah kamu mulai dengan meminta perlindungan Allah
daripada syaitan yang direjam”.
Tafsir Ayat Pertama
بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang)
Dengan nama Allah kita memulakan
segenap pekerjaan baik agar beroleh keberkatan padanya. Allah Taa’la
menyifatkan diri-Nya dengan kalimah Al-Asma’ Al-Husna iaitu Ar-Rahman
dan Ar-Rahim. Kedua-dua kalimah itu terbit daripada kalimah رحمة “rahmah” yang membawa
makna kasih sayang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Allah Jalla Jalaluhu
bersifat dengan pengasih dan penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Buktinya? Dia telah mengurniakan rezeki yang
nikmat yang tak terhitung banyaknya, daripada sebesar-besar perkara hingga
sekecil-kecilnya. Benarlah firman-Nya di
dalam Surah An-Nahl ayat ke-18, “Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah,
nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.”.
Namun begitu, mungkin timbul
persoalan. Apakah perbezaan antara Ar-Rahman dan Ar-Rahim
sedangkan kedua-duanya memiliki kata akar yang sama dan menjurus kepada makna
yang hampir serupa? As-Syeikh Said Hawwa di dalam “Al-Asas fi At-Tafsir”
menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan Ar-Rahman
itu merujuk kepada kasih sayang-Nya meliputi orang kafir dan mukmin sedangkan Ar-Rahim
hanya khusus kepada orang mukmin sahaja.
Cuba kita renungkan seketika. Jika
kita fikir dalam-dalam barulah kita sedar bahawa besarnya rahmat Allah kepada
kita. Ada sebahagian manusia yang menyekutukan-Nya (syirik) dengan yang lain,
melakukan maksiat kepada-Nya, lalai daripada mengingati-Nya tetapi Dia masih
memberikan makan, minum, udara, kesihatan akal dan tubuh badan, ketelusan
pandangan dan pendengaran dan sebagainya. Apa yang paling besar ialah penghidupan yang dilanjutkan untuk kembali
(taubat) ke hadrat-Nya. Suatu peluang yang janganlah pula disia-siakan. Justeru,
tiada dalih bagi manusia untuk menafikan segala hakikat ini sebagaimana Allah
Taa’la mengulang beberapa kali di dalam Surah Ar-Rahman, “Maka nikmat yang
mana lagikah kalian mahu dustakan?”. Sungguh luas rahmat-Nya!
Tafsir Ayat
Kedua
الحمد لله رب العالمين
(Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam)
Segala pujian milik Allah, tuhan yang
mentadbir sekalin alam dengan kudrat-Nya dan menurut iradat-Nya. Tiada suatu
makhluk pun yang berhak menerima pujian melainkan-Nya. Selain itu, tiada juga sebarang
pujian atau at-thana’ (الثناء) yang
sebenar-benarnya sebagaimana Dia (Allah) memuji diri-Nya sendiri. Satu kalimah yang
singkat tetapi membawa satu perlambangan akan kekerdilan seorang manusia di
hadapan tuhan-Nya dan tanda penghargaan serta sekalung budi di atas limpahan
rezeki dan nikmat. Besarnya kalimah Alhamdulillah sehingga Nabi SAW
bersabda, “Sebaik-baik zikir La Ilaha Illallah (Tiada tuhan melainkan Allah)
dan sebaik-baik doa Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah)”.
Berdasarkan
ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan beberapa perkara yang berkaitan dengannya
seperti berikut:
- Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai keagungan Allah. Dia berhak mendapatkan sanjungan dan pujian daripada makhluk-nya kerana segala nikmat dan rezeki yang diperoleh dan dikecap berasal daripada-Nya. Oleh itu, kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.
- Terdapat tiga cara bagi manusia menzahirkan kesyukuran mereka terhadap Allah itu iaitu melalui perkataan (mengucapkanlah paling kurang Alhamdulillah), melalui perbuatan (menggunakan nikmat tersebut ke jalan yang Dia redai dan sentiasa menambah nilai amalan dengan nikmat yang dikurnikan), melalui hati (merasakan bahawa segala-galanya adalah milik Allah dan Dia berhak pada bila-bila masa mengambil kembali hak-Nya. Jangan lalai dan leka, angkuh dan sombong kepada manusia dengan pemberian-Nya. Sentiasa merasakan kelemahan dan kekurangan diri).
Natijahnya, Allah Taa’la akan
menjanjikan penambahan nikmat-Nya sekiranya manusia bersyukur seperti mana yang
telah dikhabarkan di dalam Surah Ibrahim ayat ketujuh, “Sekiranya kamu
bersyukur, nescaya Aku tambahkan untuk kamu...”.
Semoga bertemu lagi di waktu yang
lain...
Johor Bahru, Isnin 22/5/2017 Jam 2.40
pagi