Sunday, 21 May 2017

NIDA FURQANI #1 : Surah Al-Fatihah (Ayat 1&2)

Pendahuluan
Surah Al-Fatihah merupakan surah yang pertama di dalam Al-Quran Al-Karim. Ia merupakan Surah Makkiyah (surah yang diturunkan sebelum Hijrah) dan mengandungi tujuh ayat yang diawali kalimah “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Selain itu, Surah Al-Fatihah memiliki nama-nama yang lain seperti Umm Al-Kitab (Induk Al-Quran), Fatihah Al-Kitab (Pembuka Al-Quran), Sabu’ Al-Mathani (Tujuh Ayat yang Diulang-Ulang), As-Syifa (Penawar), Surah Al-Kanz (Surah Perbendaharaan) dan lain-lain lagi (rujuk Al-Asas fi At-Tafsir oleh As-Syeikh Said Hawwa).

Kelebihan Surah Al-Fatihah
Terdapat pelbagai riwayat berkaitan kelebihan surah Al-Fatihah itu sendiri. Hal ini telah disebutkan oleh sebilangan mufassirin seperti, Al-Imam Al-Qurtubi (wafat 671H),  Al-Hafiz Ibnu Kathir (wafat 774H), Al-Imam As-Syaukani (wafat 1250H) dan sebagainya. Antaranya:
  1.  Al-Imam Al-Bukhari (wafat 256H), Al-Imam Ahmad Bin Hanbal (wafat 241H), Al-Imam Abu Daud (wafat 275H) dan Al-Imam An-Nasaie (wafat 303H) meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Said Al-Mua’lla (secara mahfumnya), bahawa Rasulullah SAW mengajarkannya sebesar-besar surah tang diturunkan kepadanya sebelum beliau keluar dari masjid iaitu Alhamdulillahi Rabbil A’lamin (Al-Fatihah);
  2. Al-Imam Malik Bin Anas (wafat 179H) meriwayatkan bahawa Ubai Bin Kaa’b telah diajarkan oleh Rasulullah SAW sebesar-besar yang tidak diturunkan seumpamanya di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran iaitu surah Alhamdulillah Lillahi Rabbil A’lamin (Al-Fatihah);
  3.  Ibnu Al-Anbari (wafat 328H) menyebutkan di dalam kitabnya “Ar-Radd”, Mujahid mengatakan bahawa sesungguhnya Iblis yang dilaknati Allah meraung sebanyak empat kali; iaitu ketika dilaknat, ketika dikeluarkan dari syurga, semasa lahirnya Nabi Muhammad SAW dan sewaktu turunnya surah Al-Fatihah;
  4.  Al-Imam Said Bin Mansur (wafat 227H) dan Al-Imam Al-Baihaqi (wafat 458H) merekodkan di dalam kitab-kitab masing-masing, daripada Abu Said Al-Khudri radiyallahu anhu, Nabi SAW pernah bersabda, “Al-Fatihah merupakan penawar bagi semua penyakit”;
  5. Al-Imam At-Tabrani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dengan sanad yang daif bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barangsiapa yang membaca Al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad (Surah Al-Ikhlas), maka seolah-olah dia telah membaca sepetiga Al-Quran”.

Kandungan Surah Al-Fatihah
Surah Al-Fatihah mengandungi beberapa persoalan yang menjadi pokok perbincangan di dalam surah ini. Professor Dr. Wahbah Al-Zuhaily memperincikan hal tersebut di dalam At-Tafsir Al-Munir fi Al-Aqidah wa As-Syariah wa Al-Manhaj seperti persoalan usuluddin (dasar-dasar agama) dan cabang-cabangnya, akidah, pensyariatan, keimanan terhadap hari kiamat dan sifat-sifat Allah, pengesaan-Nya dalam urusan ibadah, meminta pertolongan dan doa, bimbingan dalam mengharapkan petunjuk dan jalan yang lurus, serta menghindari jalan orang yang terpesong daripada hidayah Allah.

Hukum Membaca Al-Fatihah Di Dalam Solat
Menurut mazhab As-Syafie, membaca Al-Fatihah adalah wajib kerana ia adalah sebahagian rukun (qauli)  yang tiga belas. Hal ini sabit daripada Hadis Barra’ Bin Azib bahawa Nabi SAW bersabda, “ Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah”. Justeru, musolli (orang yang bersembahyang) mestilah memelihara setiap huruf, tasydid, tertib dan muwalah (berturut-turut dari seayat ke ayat yang lain) antara kalimanya. Demikianlah yang dinukilkan oleh As-Syeikh Daud Al-Fathoni di dalam Muniyyat Al-Musolli.

Tafsir Al-Istia’zah atau At-Taa’wuz

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
(Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam)

Disunatkan bagi pembaca Al-Quran agar memulakan tilawahnya atau memulakan bacaan Al-Fatihah di dalam solat setiap rakaat dengan melafazkan kalimah Al-Istia’zah atau At-Taa’wuz untuk memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang derhaka yang berusaha memudaratkan agama (pegangan dan kepercaayan) kita dan menghalangi kita daripada kebenaran yang menuju kepada Allah. Di samping itu, galakan beristia’zah telah dinyatakan di dalam Surah An-Nahl ayat ke-98, “Maka tatkala kamu membaca Al-Quran, hendaklah kamu mulai dengan meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam”.

Tafsir Ayat Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم
(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)

Dengan nama Allah kita memulakan segenap pekerjaan baik agar beroleh keberkatan padanya. Allah Taa’la menyifatkan diri-Nya dengan kalimah Al-Asma’ Al-Husna iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Kedua-dua kalimah itu terbit daripada kalimah رحمة “rahmah” yang membawa makna kasih sayang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Allah Jalla Jalaluhu bersifat dengan pengasih dan penyayang kepada hamba-hamba-Nya.  Buktinya? Dia telah mengurniakan rezeki yang nikmat yang tak terhitung banyaknya, daripada sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecilnya. Benarlah firman-Nya  di dalam Surah An-Nahl ayat ke-18, “Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.”.
            Namun begitu, mungkin timbul persoalan. Apakah perbezaan antara Ar-Rahman dan Ar-Rahim sedangkan kedua-duanya memiliki kata akar yang sama dan menjurus kepada makna yang hampir serupa? As-Syeikh Said Hawwa di dalam “Al-Asas fi At-Tafsir”  menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan Ar-Rahman itu merujuk kepada kasih sayang-Nya meliputi orang kafir dan mukmin sedangkan Ar-Rahim hanya khusus kepada orang mukmin sahaja.
            Cuba kita renungkan seketika. Jika kita fikir dalam-dalam barulah kita sedar bahawa besarnya rahmat Allah kepada kita. Ada sebahagian manusia yang menyekutukan-Nya (syirik) dengan yang lain, melakukan maksiat kepada-Nya, lalai daripada mengingati-Nya tetapi Dia masih memberikan makan, minum, udara, kesihatan akal dan tubuh badan, ketelusan pandangan dan pendengaran dan sebagainya. Apa yang paling besar ialah   penghidupan yang dilanjutkan untuk kembali (taubat) ke hadrat-Nya. Suatu peluang yang janganlah pula disia-siakan. Justeru, tiada dalih bagi manusia untuk menafikan segala hakikat ini sebagaimana Allah Taa’la mengulang beberapa kali di dalam Surah Ar-Rahman, “Maka nikmat yang mana lagikah kalian mahu dustakan?”. Sungguh luas rahmat-Nya!

Tafsir Ayat Kedua

الحمد لله رب العالمين
(Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam)

Segala pujian milik Allah, tuhan yang mentadbir sekalin alam dengan kudrat-Nya dan menurut iradat-Nya. Tiada suatu makhluk pun yang berhak menerima pujian melainkan-Nya. Selain itu, tiada juga sebarang pujian atau at-thana’ (الثناء) yang sebenar-benarnya sebagaimana Dia (Allah) memuji diri-Nya sendiri. Satu kalimah yang singkat tetapi membawa satu perlambangan akan kekerdilan seorang manusia di hadapan tuhan-Nya dan tanda penghargaan serta sekalung budi di atas limpahan rezeki dan nikmat. Besarnya kalimah Alhamdulillah sehingga Nabi SAW bersabda, “Sebaik-baik zikir La Ilaha Illallah (Tiada tuhan melainkan Allah) dan sebaik-baik doa Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah)”.
            Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan beberapa perkara yang berkaitan dengannya seperti berikut:
  1. Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai keagungan Allah. Dia berhak mendapatkan sanjungan dan pujian daripada makhluk-nya kerana segala nikmat dan rezeki yang diperoleh dan dikecap berasal daripada-Nya. Oleh itu, kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.
  2. Terdapat tiga cara bagi manusia menzahirkan kesyukuran mereka terhadap Allah itu iaitu melalui perkataan (mengucapkanlah paling kurang Alhamdulillah), melalui perbuatan (menggunakan nikmat tersebut ke jalan yang Dia redai dan sentiasa menambah nilai amalan dengan nikmat yang dikurnikan),  melalui hati (merasakan bahawa segala-galanya adalah milik Allah dan Dia berhak pada bila-bila masa mengambil kembali hak-Nya. Jangan lalai dan  leka, angkuh dan sombong kepada manusia dengan pemberian-Nya. Sentiasa merasakan kelemahan dan kekurangan diri).
              Natijahnya, Allah Taa’la akan menjanjikan penambahan nikmat-Nya sekiranya manusia bersyukur seperti mana yang telah dikhabarkan di dalam Surah Ibrahim ayat ketujuh, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan untuk kamu...”.

Semoga bertemu lagi di waktu yang lain...
Johor Bahru, Isnin 22/5/2017 Jam 2.40 pagi